Pages

Tuesday, June 15, 2010

tanda-tanda hati yang suci....

Hati adalah raja kepada seluruh anggota badan. Tindakan anggota zahir melambangkan keadaan hati batin yang tidak dapat dilihat. Ada hati yang sakit, tetapi tidak disedari oleh tuannya. Bahkan ada yang sampai hatinya mati pun tuannya masih tak tahu tentang kematian tersebut ataupun tanda-tandanya.

Berikut disenaraikan sebahagian tanda hati yang hidup secara sihat. Kalau tanda ini tiada pada kita, ‘mafhum mukhalafah’nya hati kita sudah mula sakit.

1. Faham dan menghayati bahawa dunia ini adalah sebagai ladang untuk dituai hasilnya pada akhirat kelak.

Banyak orang tahu dan faham bahawa dunia ini adalah tumpangan dan akhirat kelak yang kekal abadi. Itu belum memadai jika tidak disertakan pembuktian bahawa kita tidak terjebak dengan perangkap dunia yang sentiasa mempesona. Pesanan Nabi; dunia ini indah menawan. Allah tempatkan kamu di sana supaya dia melihat bagaimana kamu beramal. Takutilah dunia dan takutilah wanita. Kerana fitnah pertama menimpa Bani Israil adalah pada wanita.

2. Rasa gelisah apabila tidak dapat menyempurnakan amalan dan wirid harian.

Sebagai muslim yang mengharapkan keredhaan Allah, setiap orang daripada kita perlu ada wirid harian yang menjadi amalannya. Sebagai contoh, membaca doa-doa yang ma’thur (sahih datangnya dari Nabi Muhammad SAW) pagi dan petang, membaca beberapa muka ayat al-Quran, beristighfar sebanyak seratus kali, berselawat ke atas Nabi SAW dsb. Ada orang menyediakan senarai semak atau muhasabah harian untuk memastikan amalan hariannya dipatuhi.

Kalau kita boleh mendisiplinkan diri kita untuk membeli dan membaca surat khabar dan menonton TV setiap hari selama berjam-jam, mengapa tidak boleh kita khususkan beberapa ketika untuk berzikir, istighfar, tilawah al-Quran dsb. kerana Allah. Perlu diingat, tidak semestinya kita duduk atas sejadah sahaja untuk zikir dan wirid tadi. Ada orang tidak sempurna harinya jika tidak membaca akhbar harian, tetapi langsung tidak tersentuh hati atau rasa bersalah jika tidak sempat membaca al-Quran. Pernah sekali saya menegur orang begini, dia menjawab; baca Quran tu bukan wajib! Subhanallah! Bukan saya nak menghukum, tetapi kita boleh soal balik; baca surat khabar tu wajib ke? Dalam masa yang sama, nilai dan hukumlah di mana letaknya diri kita sendiri?

3. Tidak reda masanya terbuang dengan perkara yang sia-sia.

Pentingnya masa sampaikan Allah bersumpah dengannya dalam al-Quran; Demi masa, demi fajar, demi dhuha, demi malam… Nabi sendiri pernah berpesan; rebutlah masa lapang sebelum datang masa sibuk. Pepatah Arab menyebut; waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak memotongnya, ia akan memotong engkau. Tidak ketinggalan juga pepatah Melayu kita; waktu itu umpama emas. Manakala mujaddid kurun kedua puluh mengingatkan; waktu itu adalah kehidupan. Maka, jika kita mensia-siakan masa yang dianugerahkan Allah, bermakna kita telah mensia-siakan kehidupan kita sendiri!

Membuang masa sama ada dengan membiarkannya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian, atau membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Sama ada manfaat dunia mahupun akhirat. Sama ada manfaat itu untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Andaikata membaca coretan ini membuang masa, tinggalkanlah. Andaikata kita menaip sesuatu yang tiada manfaat, tinggalkanlah. Kerana ia menjadi indikator kesihatan hati kita!

4. Putus hubungan dengan dunia semasa solat bahkan merasa nikmat dan rehat ketika menunaikannya.

Bila kita mengangkat takbir ‘Allahu Akbar’ kita telah mengagungkan Allah Taala dan meletakkan dunia dan isi kandungnya di belakang. Tidak dibawa sama dalam solat. Sebab itu antara adab solat ialah memastikan kita betul-betul bersedia dari segi mental dan fizikal. Makruh solat dalam keadaan makan sudah terhidang sebagaimana makruh juga solat jika menahan kencing, kentut dsb. Rasulullah SAW menjadikan solat sebagai ‘ruang rehat’ baginda ketika bersabda kepada Bilal; rehatkanlah kami (dengan solat) wahai Bilal!

Kalau kita tidak memahami makna perkataan dalam solat (walaupun dah dua puluh tahun solat!), masih sempat mencongak bajet keluarga bagi tahun 2010 dalam solat, masih sempat mencari destinasi percutian hujung tahun dsb., maka akuilah bersama bahawa hati kita masih belum sihat.

5. Tidak jemu berzikir kepada Allah dan berkhidmat kepadaNya, dan lebih suka bersahabat dengan orang yang menunjuk dan mengingatkannya kepada zikir dan khidmat tadi.

Jika kita tahu kedudukan kita sebagai hamba Allah, nescaya kita tidak akan jemu untuk berzikir kepadanya. Jika kita tahu peranan kita sebagai khalifah Allah, nescaya akan kita akan berusaha menunaikan amanah tersebut. Juga kita lebih suka mendampingi individu, majlis atau organisasi yang boleh membimbing kita berkhidmat untuk agama Allah. Kalaulah matlamat hidup kita sekadar memuji Allah, nescaya Allah tidak jadikan kita, sebab para malaikat lebih banyak zikir, tahmid dan tasbih mereka kepada Allah. Tapi Allah cipta kita berkhidmat sebagai khalifah di atas muka bumi ini, satu amanah yang amat berat. Kita tentu akan lebih cenderung mendampingi dan didampingi orang-orang yang akan membimbing, membantu dan mendorong penyempurnaan amanah tadi. Berbalik kepada tajuk, jika kita langsung tidak memikirkan tugas sebagai khalifah tadi dan berusaha menyempurnakannya, akuilah bahawa hati kita kurang sihat.

6. Tumpuan lebih diberikan kepada memperbaiki amal daripada memperbanyakkan amal.

Orang yang bijak sentiasa memuhasabah amalnya supaya diterima Allah. Bukannya banyak beramal tetapi ditolak oleh Allah. Jauh lagi, kalau hanya banyak bercakap, pandai komplen dan mempertikaikan tindakan orang lain, tapi diri sendiri tidak menyumbang apa-apa. Secara khusus, aspek yang perlu sentiasa diperbaiki ialah dari segi ikhlas, jauh dari ujub dan sum’ah, melaksanakan nasihat, muhasabah diri, ihsan dan merasa kurang dalam menunaikan hak Allah. Sebab itu ilmu dan berdamping dengan orang berilmu adalah perlu supaya amal sentiasa diterima Allah.

Moga Allah perlihatkan kelemahan diri kita sendiri supaya kita sedar dan berusaha memperbaikinya. Tidak kiralah kelemahan tersebut ditunjukkan oleh siapa, yang penting kita mengakui kelemahan diri dan membaikinya.

No comments:

Post a Comment